4 Tempat Makan Best anda Boleh Cuba di Johor

Hi semua!

Kali ini kami ingin membawa anda ke 4 tempat makan best yang anda boleh kunjungi di sekitar Kulai, Johor.

Jom kita lihat apa yang ada di Kulai ni.

1. Nasi Lemak Ayam Goreng Wak Kentut

Mendengar nama nasi lemaknya mungkin membuatkan anda ragu – ragu untuk mencubanya.

Tetapi janganlah anda khuatir, kerana ianya adalah sekadar nama yang telah diwarisi sejak dulu lagi.

Gerai nasi lemak ini telah wujud sejak 30 tahun yang lalu biarpun telah cuba menukar nama gerai, tetapi para pelanggan lebih menggemari nama asal iaitu Nasi Lemak Ayam Goreng Wak Kentut.

Sumber: Facebook Nasi Lemak Wak Kentut

Pengunjung yang datang ke gerai ini tidak hanya kaum Melayu malah kaum Cina dan India turut menggemari hidangan di sini.

Gerai ini mengamalkan konsep layan diri.

Jadi anda perlulah beratur untuk membuat pesanan makan.

Hidangan ini boleh dilihat di mana sahaja namun keunikan rasa yang tersendiri membuatkan hidangan ini berbeza dari tempat lain.

Nasi Lemak yang dihidangkan di sini begitu sedap dan ayam gorengnya pula dipenuhi dengan rasa rempah dan rangup serta berjus apabila di makan.

Sumber: Facebook Nasi Lemak Wak Kentut

Ada juga yang mengatakan ayam goreng di sini lebih sedap ataupun setanding ayam goreng KFC.

Setiap hari pemilik gerai ini perlu menyediakan sebanyak 150 ekor ayam serta 150 kilogram beras untuk menyediakan hidangan buat para pelanggannya.

Anda juga boleh memesan otak – otak untuk dimakan bersama nasi lemak.

Air kelapa juga ada disediakan buat para pengunjung untuk dinikmati bersama nasi lemak yang sememangya semakin umph hidangan anda.

Ada juga pelanggan yang mengatakan makanan di gerai ini sangat sedap sehinggakan terkentut sewaktu makan !

2. Major Street Café

Hari – hari makan menu yang sama pasti membosankan bukan ?

Apa kata kali ini anda yang berada di Kulai, Johor atau yang berkunjung ke Kulai, boleh mencuba hidangan makan malam di sini.

Di mana tu ?

Tentulah di Major Street Cafe yang terletak di Indahpura Kulai.

Sumber: Facebook Major Street

Sebaik sahaja anda melangkahkan kaki ke dalam restoran ini, pasti anda tertarik dengan konsep yang ditampilkan.

Restoran yang ala – ala hipster ini kelihatan begitu selesa dan sesuai dijadikan sebagai tempat bersantai sambil menikmati hidangan makan malam dengan tenang.

Restoran ini juga menyediakan ruang untuk para pengunjung bergambar ala – ala photobooth yang sangat menarik.

Jadi, sementara menunggu hidangan tiba, bolehlah anda berselfie dahulu ya.

Apa yang dihidangkan di sini ?

Restoran ini menyajikan hidangan makanan Barat buat para pengunjung.

Anda boleh mencuba Chicken Nachos sebagai hidangan ringan yang boleh dikongsi bersama – sama kerana saiz hidangan agak besar.

Terdapat Chicken Rice Grilled, Beef Roti John, Fish & Chips, Spaghetti Seafodd Aglio Olio, Mushroom Soup, Lamb Grilled dan bermacam lagi sehingga membuatkan anda rambang mata untuk membuat pesanan.

Sumber: Facebook Major Street

Servis dan layanan para krew restoran sangat memuaskan serta mesra pelanggan.

Setiap pertanyaan yang diajukan oleh pelanggan akan dilayan sebaik mungkin.

Setiap hidangan yang dipesan juga dapat disiapkan dalam masa yang singkat dan para pelanggan tidak perlu menunggu terlalu lama biarpun pesanan yang dipesan adalah berbeza – beza.

Restoran ini dibuka seawal jam 12.00 tengahari sehingga jam 12.00 tengah malam akan mengalami sedikit kesesakan di waktu puncak antara jam 8.00 – 9.00 malam setiap hari.

Bagi anda yang ingin menjamu selera di sini di sarankan tidak datang ketika waktu puncak kerana kebiasaannya restoran ini dipenuhi para pengunjung.

Jadi, mungkin anda boleh datang di luar waktu puncak tersebut bagi mengelakkan kesesakan dan menunggu lama.

3. Restoran Azilah

Restoran Azilah menyediakan hidangan makan tengahari setiap hari bermula dari jam 9.00 pagi sehingga jam 5.00 petang.

Restoran ini terletak di bangunan beratap biru dan berhadapan dengan RHB Bank Kulai.

Setiap hari restoran ini menghidangkan menu istimewa yang sering menjadi permintaan ramai iaitu hidangan Asam Pedas dan Siput Sedut Masak Lemak.

Sumber: Facebook Restoran Azilah

Menu yang mesti anda cuba di sini adalah Siput Sedut Berapi (Siput Sedut Masak Lemak), pelbagai Asam Pedas Johor (Asam Pedas Ikan Pari, Ikan Mayong, Tenggiri, Kembung, Daging Tetel), Babat Masak Lemak, Ayam Kicap Tradisi, Udang Sambal Petai, sayuran goreng, ulam – ulaman seperti pegaga, jantung pisang, kacang botol, bendi, petai, ulam raja dan pelbagai lagi.

Hidangan di sini juga tidak terlalu mahal dan sangat berpatutan.

Oleh sebab itu restoran ini sering menjadi tumpuan ramai sebaik sahaja ia dibuka.

Menu yang dihidangkan juga sangat menepati citarasa pengujung yang menggemari masakan kampung sebagai hidangan tengahari.

Sumber: Facebook Restoran Azilah

Memandangkan negeri Johor turut terkenal dengan masakan asam pedasnya, maka tidak hairanlah hidangan asam pedas di restoran ini sering kehabisan awal tambahan pula rasanya yang cukup memikat jiwa.

4. Restoran Ngonyel – ngonyel

Anda sedang mencari makanan untuk ngonyel – ngonyel ? Apa ngonyel – ngonyel tu ? Comel bunyinya kan ?

Kalau anda nak tahu, ngonyel – ngonyel ni perkataan yang biasa digunakan oleh orang – orang Muar dan Jawa di Johor terutama sekali di Kulai dan Muar.

Ngonyel – ngonyel ini bermaksud kunyah – kunyah.

Di bandar Kulaijaya, terdapat sebuah restoran yang dikenali sebagai Restoran Ngonyel – Ngonyel menghidangkan pelbagai menu masakan Melayu dan Jawa. Makanan Barat atau masakan ala Thai atau Cina tiada dihidangkan di sini ya !

Sumber: Facebook Restoran Ngonyel-Ngonyel

Tomyam pun tiada. Jadi, bolehlah anda mengubah selera sekali – sekala.

Apa yang menarik sangat di restoran ini ?

Menu yang menjadi permintaan ramai adalah Nasi Goreng Bako dan Nasi Lemak.

Mungkin bagi anda kedua – dua hidangan ini boleh didapati di mana – mana sahaja.

Tunggu dulu !

Sebaiknya anda datang dan cuba sendiri menu hidangan di sini.

Kedua – dua hidangan ini menjadi semakin meletops apabila anda menikmatinya bersama lauk pauk yang sememangnya sedap seperti Siakap Bako, Pari Bako, Sotong Bako, Cencaru Bako, Talapia Goreng dan banyak lagi lauk yang boleh anda jumpa di sini.

Sumber: Facebook Restoran Ngonyel-Ngonyel

Sambal yang merah menyala dicurahkan di atas setiap lauk pauk yang dibakar membuatkan hidangan anda semakin padu rasanya.

Menu lain yang turut menjadi pilihan di sini adalah Mee Rebus, Mee Bandung, Rojak Asma, Otak – otak, lauk Ayam Ungkep, Rendang Kerang dan banyak lagi.

Restoran ini turut mengadakan pakej promosi Ramadhan setiap kali tibanya bulan Ramadhan dan sambutannya adalah sangat menggalakkan kerana set yang ditawarkan serendah RM 5 sahaja untuk satu set hidangan nasi lengkap bersama minuman.

Restoran ini terletak bersebelahan Sekolah Seri Temasik (Oliven) dan juga Balai Bomba Kulaijaya di buka setiap hari bermula jam 5.00 petang sehingga jam 10.00 malam kecuali hari Isnin.


Itulah antara tempat makan best yang anda boleh cuba di Kulai, Johor. Kalau anda berancang untuk singgah di Kulai, haa apa lagi? Jomlah datang sini. Anda pasti tidak menyesal!

Anda pernah makan di salah satu restoran ini?

Kami nak dengar komen anda!